Anak-ku Sazali

Anak-ku Sazali
PengarahPhani Majumdar
PenulisPhani Majumdar
Dihasilkan olehRun Run Shaw
Dibintangi
  • P. Ramlee
  • Zaiton
  • Rosnani Jamil
  • Nordin Ahmad
  • Hashimah Yon
SinematografiA. Bakar Ali
Muzik olehP. Ramlee
Syarikat
penerbitan
Malay Film Productions
Diedarkan olehShaw Brothers
Tarikh tayangan
  • 27 Oktober 1956 (1956-10-27)
NegaraSingapura, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia)
BahasaMelayu

Anak-ku Sazali ialah sebuah filem hitam putih Melayu yang ditayangkan di pawagam pada 27 Oktober 1956 dengan arahan Phani Majmudar, dan menampilkan P. Ramlee yang memainkan dua watak yang berbeza iaitu sebagai bapa dan anak. P. Ramlee memainkan watak Hassan yang dewasa dan Sazali, anaknya yang sudah dewasa. Ia merupakan salah satu daripada filem-filem di mana P. Ramlee memegang watak antagonis.

Filem ini memperoleh penerimaan kritis yang ketara, dan memperoleh anugerah-anugerah peringkat antarabangsa, dan seterusnya mengangkat P. Ramlee sebagai pelakon teriktiraf dengan anugerah pelakon terbaik di Festival Filem Asia Pasifik.

Sinopsis

Hassan (P. Ramlee) ialah seorang anak yatim piatu yang bekerja dengan seorang yang kaya. Orang kaya (Malek Sutan Muda) tersebut mempunyai dua orang anak, Mansor dan Mahani. Hassan telah diusir keluar dari rumah orang kaya tersebut kerana membawa Mansor dan Mahani pergi menyaksikan persembahan keroncong. Hassan begitu meminati alunan muzik sehingga dia sanggup membelanjakan wangnya untuk membeli sebuah biola dan kemudian pergi belajar dengan seorang guru biola. Persahabatan Hassan, Mansor dan Mahani begitu erat. Apabila dewasa, Mansor (Nordin Ahmad) dihantar belajar ke Singapura sementara Mahani (Zaiton) pula hendak dikahwinkan dengan pilihan ayahnya. Hassan yang mempunyai perasaan kasih terhadap Mahani, tidak dapat menerima kenyataan itu lalu melarikan diri ke Singapura. Mahani yang juga terlalu mengasihi Hassan mengikutnya ke Singapura dan berjumpa Mansor. Mahani dan Hassan berkahwin dengan persetujuan Mansor yang sememangnya sedar tentang perhubungan adiknya dengan sahabatnya itu. Mansor juga turut berkahwin dengan seorang gadis bernama Rubiah (Rosnani Jamil). Selepas itu, Hassan meneruskan minatnya kepada muzik dan berjaya menjadi seorang ahli muzik terkenal. Hassan begitu gembira apabila Mahani mengandungkan anak sulung mereka.

Malangnya Mahani meninggal dunia ketika melahirkan anak lelaki yang kemudiannya dinamakan Sazali. Kasih sayang dan kepercayaan Hassan terhadap Sazali begitu tinggi sehingga menyebabkan Sazali membesar menjadi seorang yang kurang ajar dan membuat pelbagai kejahatan. Sazali juga telah menodai Rokiah (Hashimah Yon) yang merupakan anak kepada Mansor dan Rubiah. Rokiah terlalu kecewa sehingga mengambil keputusan membunuh diri kerana dirinya sudah berbadan dua. Sazali (P. Ramlee) mempunyai pengikut yang ramai dan menjadi seorang ketua gengster yang paling dikehendaki di Singapura. Pada suatu hari, pihak polis berjaya mengesan rompakan yang sedang dilakukan oleh kumpulan Sazali, selepas kumpulan gangster Big Boss (Shariff Dol) memberi kerjasama dengan pihak polis tetapi Sazali dapat melepaskan diri walaupun cedera akibat ditembak polis. Dia tetap kembali ke rumah ayahnya untuk mendapatkan perlindungan. Hassan terpaksa membuat keputusan yang begitu berat bagi menebus kesilapannya di masa lalu dan terus menelefon pihak polis. Sazali akhirnya berjaya diberkas oleh pihak polis ketika sedang lena tidur di dalam biliknya.

Poster dalam tulisan Jawi.

Barisan pelakon

Pelakon utama

Pelakon pembantu

Pelakon tambahan

Penerbitan

Filem Anak-ku Sazali diarahkan oleh Phani Majumdar daripada inspirasi daripada filem drama Amerika, My Son, My Son! yang dilancarkan pada 1940.

Runut

Runut-runut Anak-ku Sazali digubah oleh P. Ramlee dengan lirik ditulis oleh rakan sejawatnya, Jamil Sulong dan S. Sudarmaji, di samping gubahan oleh para komposer Filipina, Fred Libio dan L. B. Ventura. Satu lagu utama, Istana Cinta, dinyanyikan oleh Saloma, dan mengisahkan kesedihan seorang wanita yang berpayah untuk membina "istana" cinta, tetapi kemudiannya dimusnahkan oleh pasangannya.[2]

Anugerah dan pencalonan

Tahun Anugerah Tercalon Kategori Keputusan
1957 Festival Filem Asia Pasifik ke-4[3] P. Ramlee Pelakon Terbaik Menang
Tony Castello Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Menang

Rujukan

  1. ^ Samudin, Nor Akmar (2010). "Anakku Sazali meninggal dunia". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2011.
  2. ^ Abu Bakar, Nur Fardilla Nadia; Zamani, Mohd Fairuz (2023). "Breaking the code: An investigation on the vocal registers of Malaysia's national songstress Puan Sri Saloma" (PDF). Wacana Seni Journal of Arts Discourse (dalam bahasa Inggeris). 22: 51–70.
  3. ^ "Asia-Pacific Film Festival - 1957 Awards". Dicapai pada 2024-08-16 – melalui IMDb.

Bibliografi

  • Razali, Hidir Ali (2024). "Anak-ku Sazali Membawa Tuah". P. Ramlee: Tiada Yang Kedua. Kuala Lumpur. m/s. 103–107. ISBN 9789672437871.

Pautan luar

  • l
  • b
  • s
1940-an
1950-an
1960-an
1970-an